CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

.:: Renungan ::.

"Orang yang cerdik lagi berakal ialah mereka yang menghitung diri dan mengawal nafsunya serta beramal untuk persiapan selepas mati. Orang yang lemah ialah mereka yang mengikut hawa nafsunya (di dunia) kemudian mengharap-harapkan kemurahan Allah tanpa beramal salih."
(riwayat Tarmizi)

Sunday, June 1, 2008

Kejemuan dan kebosanan...

Hari-harinya berlalu, kemudian datang kembali dengan kejemuan. Kejemuan itu kadangkala memuakkan. Seperti makan nasi sepuluh kali sehari dengan menu yang sama. Memuakkan hingga tidak tertelan. Itulah kehidupan yang sedang dirasakan. Namun segala apa pun yang datang, hidup wajib diteruskan. Wajib diteruskan dengan sebaik mungkin.

Bangun pagi, mengenakan baju, kadang-kadang dia termuntah kosong. Lebih-lebih lagi setiap kali bangun pagi, yang terbayang adalah wajah-wajah yang bakal dia temui sepanjang hari. Wajah-wajah yang sama. Perangai-perangai yang sama. Tabiat-tabiat yang sama. Pandangan-pandangan yang sama. Perbuatan-perbuatan yang lebih kurang sama. Termasuk dirinya sendiri. Amat menjemukan.

Kadangkala dia risau. Apakah perasaan yang begitu adalah perkara normal yang dirasakan oleh seorang manusia yang waras? Ya, adakah kebosanan yang dirasakan agak keterlaluan itu adalah di luar batasan kewarasan seorang manusia?

Jiwanya bagai sudah tepu. Tidak lagi dapat menerima semua itu. Memerhati teman-temannya, dia mengeluh dalam kehairanan yang panjang. Begitu penyabar manusia-manusia di sekelilingnya. Sungguh-sungguh sabar. Mereka tidak pernah putus asa dan bosan pada kerja-kerja mereka yang menjadi rutin untuk tempoh yang begitu lama. Ya, mereka cukup penyabar di matanya.

Sesekali ingin juga dia bertanya kepada mereka tentang kejemuan dan kebosanan yang sedang menyerang jiwanya ketika itu. Tidakkah mereka pernah merasakan kejemuan yang sama yang sedang menguasai dirinya?

Sesekali dia menyelak langsir tingkap biliknya. Memandang ke luar melalui tingkap cermin. Kosong. Memandang fail-fail yang terbuka di atas mejanya, kosong juga. Memandang wajah teman-temannya yang berada tidak jauh dari tempatnya, kosong juga.

Apakah itu tandanya dia sudah mulai tiba di suatu titik yang menemukan dirinya dengan kebosanan terhadap rutin hidup yang sama? Begitukah? Dan apakah kebosanan itu adalah sesuatu yang dapat diubati?

Dikepung dan dihimpit rasa kebosanan yan berlanjutan itu, mahu tak mahu dia terpaksa memujuk dirinya. Hidup wajib diteruskan. Tidak kira betapa sukar sekalipun.

Lalu, dia mahu batinnya pulang. Pulang kepada fitrah insane. Tentang kesyukuran akan kehidupan yang diberikan Allah. Menghitung nikmat yang Allah limpahkan. Untuk dia merasa. Tanpa kepayahan. Tanpa kesusahan.

Dia mula memejamkan matanya.

Dia memaksa-maksa. Ya, memaksa-maksadirinya gar bersyukur. Lebih bersyukur. Terus bersyukur. Selama-lamanya bersyukur.

Tetapi, bagaimana?

Bagaimana kejemuan itu dapat disingkirkan? Kejemuan itu bukan seperti habuk yang melekat pada baju. Yang dapat dihilangkan apabila dicuci. Kejemuan itu bagaikan sesuatu yang tepu, melarut dalam perasaan. Bagaimana?

Ah, ini pasti kerja makhluk yang satu itu. Makhluk apa lagi kalau bukan makhluk itu. Makhluk yang suka membisikkan kata-kata sumbang dan sumbing. Yang suka mencuit-cuit hati manusia dengan nikmat yang bersalahan daripada kasih sayang Tuhan. Yang suka menimbulkan itu ini. Yang suka meragu-ragukan. Yang suka merunsing-runsingkan. Yang suka melemah-lemahkan jiwa manusia. Juga suka menjatuhkan taraf keupayaan manusia. Kerana mahu manusia ikut terjun ke dalam neraka bersama-sama kaum yang derhaka!

Mengenangkan hal itu, dia segera beristighfar. Bimbang jika kebosanan itu menjadi ruang untuk syaitan meletakkan satu titik hitam dalam hatinya. Dia beristighfar berkali-kali.

Lalu dengan sengaja, dia membayangkan segala yang tidak manis. Sengaja! Ya, dengan sengaja atau mungkin mengada-ada, dia membayangkan semua wajah muram, wajah-wajah kasihan. Kerana dia percaya, syaitan tidak gemar pada hal-hal dunia yang tidak manis. Hal dunia yang pahit dan melarat!

Dia memejamkan matanya, bagaikan sedang menonton wajah-wajah yang kelaparan. Dia menyeru wajah-wajah itu. Agar datang membangkitkan keinsafan. Agar datang menghalau kebosanan.

Mula-mula dia cuba bayangkan semula wajah-wajah anak-anak orang Asli yang pernah ditontonnya melalui kaca televisyen. Wajah-wajah yang jauh dari pembangunan. Jauh dari keselesaan. Namun, mereka sabar dan tenang dalam kekurangan itu. Bersyukur sekadar apa yang Allah berikan.

Ah, demikian jelas bahawa dia memang seorang yand tidak bersyukur!

Kemudian, dialihkan pula ingatannya pada wajah-wajah kecil yang berdikari menguruskan diri di rumah anak yatim; yang pernah dijenguknya untuk menghantar sumbangan dan berbuka puasa bersama mereka. Tiada lelaki untuk dipanggil ayah. Tiada wanita untuk dipanggil ibu. Dan dia? Dia kembali sedar, dia punya ayah, dia punya ibu, dia punya adik-beradik dan dia juga punya keluarga. Begitulah kedudukannya. Dia adalah seorang perempuan yang sedang menggendong ujian, lahir ke dunia untuk di dewasakan oleh duri yang tajam. Dia dilahirkan dengan kebahagiaan.

Astaghfirullahalazim!

Batinnya dikejutkan semula oleh bisikan malaikat-malaikat yang sedang berebut-rebut dengan syaitan. Matanya yang tadi dipejamkan, dibuka semula. Dia menarik nafas perlahan-lahan. Beristighfar berulang kali. Kemudian memejamkan matanya semula.

Walaupun takdir hidupnya perlu dia jalani bukan seperti keinginannya, tersasar jauh daripada impian, tetapi dia tetap seorang perempuan yang bertuah. Yang cukup sifat. Berkemampuan untuk menambah ilmu dan meneruskan ibadat. Dia ialah seorang perempuan dewasa yang cukup bertuah dalam istilah kehidupan orang yang menderita.

Menurut kajian International Labour Organization (ILO), kebanyakkan anak perempuan yang berumur
limahingga empat belas tahun di Burkina, Afrika, terpaksa bekerja sebagai buruh. Terdapat lapan puluh juta buruh kanak-kanak di seluruh benua Afrika. Dan jumlah itu dijangka melebihi angka seratus juta pada tahun 2015. Selain itu, kira-kira lapan ratus juta orang di muka bumi ini yang didapati tidur di dalam keadaan lapar setiap hari. Adapula anak-anak perempuan yang dipaksa melacurkan diri.


Astaghfirullahalazim!

Dia? Bagaimana dengan dirinya? Makan cukup walaupun tidak mewah. Tidur lena walaupun kadang-kadang terganggu. Dan anak-anak itu? Terus dia membayangkan wajah-wajah kecil yang tinggal rangka menadah tangan, terlantar kelaparan. Dan dia? Masihkah dia tidak mahu bersyukur? Masihkah dia mahu membunuh rasa yang entah apa-apa dan melupakan nikmat-nikmat Allah yang tidak terhitung?

Dia menampar-nampar pipinya beberapa kali. Bangkitlah! Bangkitlah wahai roh yang diselimuti kejemuan dan debu-debu dunia. Bangkitlah. Serulah dengan nama Tuhanmu.

Allah! Allah! Allah!

Mengingatkan dirinya berkali-kali tentang Allah, tentang dirinya, tentang orang yang lebih menderita daripada dirinya, tentang nikmat yang sedang dia khianati; dia sebak sendiri. Sebak dan kemudian diselubungi kesedihan, memaksa semua kekosongan itu terus terbang pergi kerana serta-merta dia merasakan dirinya sedang disaksikan.

Ya, Allah itu Maha Melihat. Maha dekat dengan hamba-hamba-Nya. Manusia menjauhkan hati dan ingatannya daripada Allah, maka terasalah bahawa Dia jauh. Jika manusia sentiasa mendekatkan hati dan ingatannya kepada Allah, maka terasalah bahawa Dia terlalu dekat. Dekat dan memerhati. Dekat dan mengasihi. Dekat dan melindungi. Jika manusia tidak mahu mensyukuri apa yang Allah beri, selagi itulah manusia akan rasa nikmat itu masih tidak mencukupi.

Menyedari hakikat itu, dia menghalau kekosongan dan kebosanan itu jauh-jauh. Agar dirinya bebas daripada kesalan. Dia terus menghalau kebosanan dan kekosongan itu, biar ia terbang pergi. Menghilang di balik gumpalan awan dan jangan pulang-pulang. Tolonglah jangan pulang-pulang! Dia bagai merayu agar kebosanan itu jangan kembali.
Tersentak, dia bangkit daripada gangguan jiwa yang lesu.


Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka( kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikut orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas
[ Al-Kahfi : 28]
Astaghfirullahalazim! Dia meyesali kebosanan dan kekosongan yang sedang dia rasai. Berkali-kali dia menyesali. Sesungguhnya hanya hamba yang tidak mengingati Tuhannya sahaja yang sempat merasa bosan. Dan sesungguhnya orang yang tidak mengingati Allah itu adalah orang yang dilalaikan daripada kebesaran dan keagungan Allah dan menjadi hamba yang menuruti hawa nafsunya. Itulah orang yang melampaui batas.
Astaghfirullahalazim! Dia beristighfar berkali-kali. Penyesalan membuak-buak. Lalu terus dialihkan tumpuannya pada kerja-kerja di hadapannya yang masih belum disiapkan lagi. Sebagai seorang manusia yang memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar, amat berat. Ya, menguruskan kehidupannya membuatkan ada kalanya merasa bosan. Kadang-kadang perlu mengalah dengan situasi yang dia sendiri tidak persetujui. Lama-kelamaan dia mula dikuasai rasa jemu dan bosan. Hakikatnya, itu adalah sebahagian daripada ibadah. Menyumbang kepada kebaikan. Itukan kerja ibadah. Dan mencegah daripada berlakunya keburukan, itu juga ibadah.... Ya, amar makruf nahi mungkar.
~ “dia”,izinkan mimpi berulang 03:04am, 14 J/awal 1429H ~

No comments: